Menurut Asmah Hj Omar (1986), wacana ialah
keseluruhan pelahiran bahasa oleh penutur atau penulis, iaitu pelahiran sistem
bahasa dan unsur-unsur luar daripada sistem bahasa yang menyumbang ke arah
menjadikan sesuatu pertuturan atau tulisan berkenaan sebagai sesuatu yang
bermakna dalam komunikasi. Harimurti Kridalaksana (1992) pula mentakrifkan
wacana sebagai kesatuan bahasa yang lengkap dan dalam hierarki tatabahasa,
wacana merupakan kesatuan tatabahasa tertinggi atau terbesar. Terdapat dua
pendapat yang telah diusulkan tentang asal usul perkataan “wacana”. Pendapat
pertama mengatakan bahawa perkataan “wacana” ini berasal daripada kosa kata
Bahasa Arab, iaitu “wocono”. Perkataan “wocono” ini pula dikatakan berasal
daripada perkataan “woco” yang membawa maksud “baca”. Selain itu, pendapat yang
kedua mengatakan bahawa perkataan wacana yang terdapat dalam bahasa Inggeris
iaitu “discourse” sebenarnya berasal daripada bahasa Latin, iaitu daripada
perkataan “discursus” yang membawa maksud “larian ke dan lari”. Setelah usul
tentang asal usul perkataan “wacana” ini mendapat kata sepakat para pengkaji –
pengkaji bahasa, akhirnya bidang wacana ini telah dianalisis dan dikaji dengan
lebih mendalam.
Dalam
hierarki bahasa, wacana terletak pada tingkat bahasa yang tertinggi, iaitu
selepas tingkat ayat. Menurut Henry Tarigan (1987) dalam buku Tatabahasa Wacana
yang dipetik dari buku Monograf Bahasa Melayu, wacana ditakrifkan sebagai unit
atau saluran linguistik yang tertinggi, terlengkap, terbesar dari segi
skalanya, supra ayat, tersusun rapi dengan koherensi dan kohesi tinggi yang
berkesinambungan yang mempunyai awal dan akhir yang nyata disampaikan secara
lisan dan juga bertulis. Di samping itu, wacana dikatakan melebihi batas ayat
kerana dalam kajian wacana, aspek yang diteliti tidak terbatas pada tahap ayat
sahaja, tetapi turut merangkumi aspek-aspek yang lebih luas daripada ayat.
Selain itu, wacana juga dikatakan melebihi batas ayat kerana wacana mungkin
terdiri daripada dua ayat, sejumlah ayat, satu perenggan, sebuah karangan, satu
bab, sebuah buku, ataupun satu siri buku.
Menurut
Kamus Dewan pula, wacana merupakan keseluruhan tutur yang merupakan satu
kesatuan, ucapan, pertuturan dan juga percakapan. Definisi lain bagi wacana
yang dikemnukan dalam Kamus Dewan ialah kesatuan fikiran yang utuh sama ada
dalam bentuk lisan seperti pidato, khutbah atau tulisan seperti artikel,
rencana,surat, novel dan cerpen. Kesimpulannya, wacana ialah unit bahasa yang
melebihi had ayat yang terdiri daripada ayat, sejumlah ayat, ceraian, bab,
buku, cerita, dialog, siri buku dan sebagainya yang menunjukkan
hubungan-hubungan dan perkembangan fikiran yang berurutan. Ringkasnya, wacana
ialah satu unit bahasa yang mempunyai kesatuan fikiran yang utuh dan melebihi
batas ayat.
No comments:
Post a Comment