Ciri-ciri wacana dapat dikategorikan kepada beberapa
komponen. Pertama, wacana mempunyai koheren, iaitu pertautan antara satu ayat
dengan satu ayat yang lain, satu perenggan dengan satu perenggan yang lain dan
satu idea dengan satu idea yang lain. Hal ini bermaksud bahawa dalam sesebuah
penulisan, idea-idea yang dikemukakan saling berkaitan antara satu sama lain.
Komponen yang kedua
ialah kohesi. Kohesi merupakan kesepaduan dalam penulisan. Dalam proses
penulisan, keutuhan dan ketepatan wacana harusalah jelas dengan konteks
penulisan. Sebagai contoh, penulisan akhbar atau berita harus menggunakan
wacana yang bersesuaian dengan konteks berita.
Seterusnya adalah
tujuan dalam penggunaan wacana. Jika hendak menggunakan wacana, seseorang
penulis harus mempunyai tujuan untuk menentukan jenis wacana yang hendak
digunakan.
Komponen yang keempat
ialah maklumat. Dalam setiap ayat harus mempunyai maklumat yang baharu dan
berpautan antara satu sama lain. Sesebuah wacana harus diterima oleh khalayak.
Hal ini bermaksud bahawa penerimaan pembaca dan pendengar adalah tinggi dan
mudah difahami apabila penggunaan wacana bersesuai dan mempunyai tujuan yang
sama.
Ciri wacana yang
seterusnya ialah andaian dan inferens. Inferens akan memberikan maklumat baharu
kepada andaian yang akan dinyatakan dalam ayat seterusnya. Gaya juga merupakan
sebahagian daripada ciri-ciri wacana. Gaya merujuk kepada gaya bahasa, sama ada
rasmi atau tidak rasmi dan bersahaja atau tidak bersahaja. Gaya akan
mempengaruhi pemilihan laras bahasa, ayat dan penggunaan tatabahasa.